9 Jun 2026 – Sungai Buah
Maahad Tahfiz At-Tayyibah (MTT) telah menganjurkan Sambutan Hari Guru 2026 sebagai tanda penghargaan kepada para pendidik atas jasa, komitmen dan pengorbanan mereka dalam mendidik para pelajar.
Program bermula pada sebelah pagi dengan aktiviti sukaneka yang diadakan di Padang Sungai Buah. Pelbagai acara menarik telah dijalankan melibatkan penyertaan guru dan pelajar, antaranya bola baling, futsal, permainan pass guli menggunakan sudu, dodgeball, permainan kain pelekat dan belon, serta sesi teka suara.
Pada sebelah petang, majlis diteruskan di surau MTT dengan perarakan masuk para guru yang disambut meriah oleh para pelajar. Majlis turut dimulakan dengan bacaan doa, diikuti ucapan wakil pelajar, ucapan wakil guru, serta ucapan penutup oleh Timbalan Mudir.
Pelbagai pengisian lain turut menceriakan majlis termasuk nyanyian Lagu Guru Malaysia, bacaan Ikrar Guru, persembahan lakonan pelajar, penyampaian hadiah sukaneka, penyampaian Anugerah Tokoh Guru, serta tayangan video montaj sepanjang program berlangsung.
Majlis kemudian diakhiri dengan jamuan Hari Guru dalam suasana penuh harmoni, mesra dan penghargaan antara guru dan pelajar.
Sambutan ini diharap menjadi manifestasi penghormatan kepada para guru yang terus istiqamah mendidik generasi pewaris ummah.
“Guru Pemacu Reformasi Pendidikan”

































