Alhamdulillah, Maahad Tahfiz At-Tayyibah berasa amat bersyukur dan berbesar hati kerana telah diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah kepada beberapa orang pelajar dari Madrasah Mu’allimin Muhammadiyah Yogyakarta dalam menjayakan Program Mubaligh Hijrah Siri ke-7 bagi tahun 2025.
Program ini telah berlangsung dari 27 Februari hingga 18 Mac 2025, di mana para pelajar dari Yogyakarta telah menjadi pelajar angkat di MTT dan mengikuti penglibatan secara langsung sepanjang tempoh tersebut.
Perkongsian dan Penglibatan Sepanjang Program:
Kehadiran pelajar-pelajar dari Mu’allimin ini membuka ruang kepada perkongsian pendekatan pendidikan serta penglibatan bersama dalam suasana tarbiah sepanjang Ramadan.
Berdasarkan pengurusan Unit al-Quran MTT bagi bulan Ramadan, para pelajar Mu’allimin telah turut serta dalam pelaksanaan beberapa agenda utama seperti:
- Tadarus al-Quran (Individu): Pelajar Mu’allimin bersama-sama pelajar MTT melaksanakan tadarus secara individu dengan sasaran mengkhatamkan sekurang-kurangnya sekali sepanjang bulan Ramadan.
- Murajaah Hafazan: Mereka turut menyertai halaqah bersama pelajar MTT, khususnya dalam murajaah hafazan para saba’ dan mukhtar yang masih tertangguh.
- Tahriri: Pelajar Mu’allimin juga mengambil bahagian dalam aktiviti tahriri, iaitu penulisan ayat al-Quran bagi bulan Januari dan Februari.
Mereka juga turut serta dalam:
- Penggiliran pemantauan halaqah
- Solat sunat Dhuha
- Slot ulang kaji tajwid
Kehadiran mereka membantu melengkapkan pelaksanaan aktiviti Unit al-Quran sepanjang bulan Ramadan, khususnya dalam aspek penghayatan dan pembudayaan al-Quran dalam suasana maahad.
Penghargaan:
Kami merakamkan penghargaan kepada pihak Madrasah Mu’allimin Muhammadiyah Yogyakarta, serta pihak penganjur Program Mubaligh Hijrah Siri ke-7, atas kepercayaan yang diberikan kepada MTT.
Terima kasih juga kepada semua pihak yang telah membantu secara langsung dan tidak langsung dalam menyambut dan menguruskan pelajar sepanjang program ini.
Semoga program ini menjadi salah satu wasilah kebaikan dan mengeratkan jaringan ukhuwah serta kerjasama pendidikan antara dua institusi. Kami mendoakan agar hubungan ini terus berkembang pada masa akan datang, insya-Allah.