Kangar, 22 Februari 2025 – Seramai 18 pelajar dari Selangor dan Negeri Sembilan yang mengikuti Program SPPID Batch 2 Tahun 2025 telah menyertai program latihan intensif di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) selama lima hari, bermula 17 Februari lalu.
Mereka bertolak dari Terminal Bas Putrajaya Sentral pada 16 Februari dan tiba di Terminal Bas Kangar sebelum ditempatkan di Kolej Kediaman UniMAP. Program ini merupakan sebahagian daripada syarat kelayakan yang perlu dipenuhi oleh peserta SPPID.
Sepanjang program berlangsung, pelajar didedahkan kepada pelbagai modul pembelajaran, antaranya Modul Penyelenggaraan Infrastruktur dan Prasarana Masjid serta Modul Pengurusan Fasiliti. Mereka turut berpeluang mengunjungi perpustakaan UniMAP bagi menambah ilmu dan pengalaman dalam bidang berkaitan.
Kemuncak program menyaksikan Majlis Penutup yang diadakan di Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTEN) pada 21 Februari. Sijil Penyertaan telah disampaikan oleh Prof Madya Ts Dr. Nashrul Fazli, pensyarah kanan FKTEN. Majlis ini diuruskan oleh Syed Akmal bersama pasukan PDCE UniMAP Kulim.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah wakil Akademi Penggerak Huffaz, termasuk Dato' Ahmad Tajudin Jab, Tuan Hj Jasni Ismail, Ustaz Hasan Nudin, dan Radin Mas. Selain itu, Ustaz Ikhwan Hj Nordin, Mudir Pondok Tahfiz Haji Nordin, Kampung Rinching Hilir, Selangor, turut hadir bagi memberikan sokongan kepada para pelajar.
Pada 22 Februari, peserta bertolak pulang menaiki bas Maraliner ke Terminal Bas Putrajaya Sentral. Diharapkan ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan oleh pelajar dalam pengurusan masjid masing-masing, terutama menjelang Ramadan.
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua pensyarah UniMAP dan pasukan PDCE UniMAP Kulim yang telah memastikan kelancaran program serta kebajikan pelajar sepanjang tempoh latihan ini.