Careline:03 - 8920 1219/ 018 - 2375 891 Isnin - Jumaat: 8.30 pagi - 4.30 petang | Sabtu: 8.30 pagi - 1.00 petang

Post Page Advertisement [Top]

AKTIVITI KOKURIKULUM: PENCAK SILAT

KELAB SENI SILAT MTT

[Pengenalan]

Silat adalah suatu seni bela diri dari Nusantara. Silat diamalkan di Brunei, Indonesia, Malaysia, dan Singapura. Adalah penting untuk membezakan Silat dan Pencak Silat. Silat adalah istilah seni mempertahankan diri yang digunakan di Dunia Melayu manakala Pencak Silat adalah istilah seni mempertahanan diri dari pulau Jawa, Indonesia. Silat mahupun Pencak Silat telah diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan budaya milik Malaysia dan Indonesia.

Perbezaan ini terletak dalam erti seni mempertahankan diri seperti di Indonesia. Pencak Silat lebih banyak memiliki nilai budaya yang luas seperti seni, falsafah hidup, nilai rohani dan juga pendidikan karakter. Silat di Brunei, Malaysia, dan Singapura adalah lebih kepada Silat sebagai seni mempertahankan diri[2][3]. Istilah "pencak" yang digunakan dalam Bahasa Jawa dan "silat" daripada kata Bahasa Minangkabau dan Bahasa Melayu. Mereka yang mempelajari seni bela diri silat digelar pesilat. Sekarang ini Pencak Silat di negara-negara Asia Tenggara sudah memiliki aliran atau perguruan tersendiri.

Dalam amalan sekarang, pengajar atau guru silat digelar gurulatih dan seseorang yang mewarisi aliran sesuatu perguruan digelar Guru Utama aliran itu. Kebanyakan guru silat kini menolak gelaran Mahaguru kerana bagi mereka gelaran 'maha' hanya sesuai untuk Allah (Tuhan) dan ini menepati perwatakan guru silat yang kebiasaannya gemar menyembunyikan kemahiran mereka dan amat merendah diri. Pesilat senior yang telah lama berkecimpung dalam dunia silat sebagai pengajar (atau menyembunyikan kemahiran mereka), berkemahiran tinggi dan ada antaranya mewarisi beberapa aliran yang telah hilang digelar sebagai Guru Tua dan amat dihormati. Pesilat yang mempunyai tahap silat yang tinggi digelar pendekar.

Antara senjata silat yang sering digunakan oleh pesilat adalah seperti keris, badik, kerambit, parang, pedang, lading, Tumbuk Lada, tekpi, tongkat, tembong tombak,cindai, kapak, sabit dan sundang. Bagi silat yang tidak menggunakan senjata, pengajaran akan menumpukan perhatian kepada pertempuran tangan kosong (tanpa senjata). Secara amnya, sesebuah aliran silat mengajar kedua-dua kemahiran dan aliran yang hanya menumpukan salah satu daripadanya adalah sedikit. Kebiasaannya seseorang penuntut atau murid baru akan ditumpukan kepada kemahiran tempur tangan kosong sebelum diajar bermain senjata. Bagi sesetengah aliran, hanya murid yang diiktiraf berkemahiran dan mempunyai adab keperibadian yang tinggi dibenarkan mempelajari kemahiran senjata, terutama bagi yang mempunyai senjata yang dianggap senjata 'rasmi' bagi aliran itu.

Pergerakan silat terbahagi kepada bunga yang sesetengah perguruan menganggapnya sebagai pergerakan seolah-olah tarian, (digelar juga seni atau tari) tetapi sebenarnya adalah langkah untuk memusatkan tenaga/mengumpul tenaga atas tubuh badan seorang pesilat dan buah (pukulan atau buah pukul). Bagi mereka yang tidak pernah melihat seni pertahanan diri ini, silat barangkali kelihatan seperti sejenis tarian. Namun, terdapat aliran yang hanya mempunyai buah seperti Silat Cekak dan Buah Bentayan. Seni tari yang halus ini memungkinkannya digunakan sebagai persembahan dalam sesuatu majlis keramaian, malah hampir setiap aliran mempunyai 'tari sembah' termasuklah aliran yang tidak mempunyai bunga. Tari sembah ini dipersembahkan untuk memperkenalkan diri dan aliran yang diwakili/dipelajari. Dalam situasi pergaduhan, permulaan langkah daripada tari sembah atau sejurus daripada bunga yang diperlihatkan membolehkan pesilat mengenali rakan sealiran dan memungkinkan keadaan berakhir dengan perdamaian dan bermaaf-maafan.

Latihan silat di MTT dijadualkan pada setiap hari Jumaat.

Pada 19 Oktober 2022, latihan pencak silat berlangsung di padang Kg. Sungai Buah. Latihan yang asalnya berlangsung pada hari Jumaat diawalkan kerana memberi laluan kepada para pelajar balik bercuti bersama keluarga. 

Semoga bermanfaat ilmu yang diajarkan. 

#mttcemerlang



Bottom Ad [Post Page]